Hasilnya, JKQ Induction Course akhirnya berlangsung pada 7 Februari 2010, bertempat di ADM LT 2. Majlis dimulakan pada jam 9 pagi dan berakhir pada jam 3 petang. Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci daripada Kitabullah oleh akhi Solihin. Sejurus selepas itu, akhi Saiful, selaku Pengerusi Majlis, mengambil alih rostrum dan menjemput Pengarah Program untuk melakar seuntai kata. Seusai kemudian, majlis menjemput Saudara Hafiz Mohd Dasar daripada Kulliyyah Ilmu Wahyu (IRK) untuk mencanang dan menyampaikan tazkirah mengenai sejarah Al-Qur'an dan Al-Hadith.
Bacaan ayat suci Al-Furqan sebagai pembuka majlis
Pengerusi Majlis memacu kelancaran majlis
Pengarah Program mengolahkan sedikit cetusan kata
Slot tazkirah yang disampaikan oleh Saudara Hafiz Dasar berjaya memukau hadirin
Antara hadirin yang khusyuk mendengar tazkirah
Penolong Pengarah Program menyampaikan sedikit cenderahati buat Saudara Hafiz
Majlis diteruskan dengan acara "teambuilding" dan modul. Modul pertama, Islam & Inovasi, memerlukan ahli dari setiap kumpulan untuk merekacipta, mencorak dan membentuk karya dan binaan yang dapat membawa ummah ke dimensi baru, yakni alat yang belum pernah ada tercipta di mana-mana sebelum ini. Setiap kumpulan juga perlu mempersembahkan dan membentangkan hasil inovasi dengan cara tersendiri.
Akhi Solihin memberi taklimat berkenaan Islam & Inovasi
Gerak kerja berkumpulan
Sesi Pembentangan
Modul pertama ini banyak melatih dari segi gerak kerja kumpulan, kerjasama, keyakinan diri, kreativiti serta mencetus pemikiran yang luas tentang hubung kait antara Islam dan kemajuan. Selesai sesi soal jawab, aktiviti dihentikan seketika untuk minum pagi.
Selepas itu, program disambung dengan aktiviti Modul 2, iaitu Slot Setiausaha yang dikendalikan sendiri oleh Setiausaha Agung JKQ, akhi Ammar. Modus operandi bagi Slot Setiausaha ini ialah dengan Akhi Ammar memberi taklimat berkenaan cara-cara penyediaan kertas kerja dan proposal program secara teori, seterusnya setiap kumpulan dikehendaki menyediakan sendiri contoh kertas kerja dan proposal program secara praktikal, kemudian membentangkan hasilnya. Pembahagian kumpulan adalah berdasarkan biro dan setiap biro perlu menyediakan contoh kertas kerja untuk program terbesar anjuran setiap biro seperti yang terdapat dalam almanac JKQ.
Akhi Ammar berkongsi sedikit maklumat
Biro Dakwah & Tarbiyyah membentangkan proposal Kursus Jenazah
Biro Kebajikan & Ekonomi membentangkan proposal Seminar Al-Qur'an
Biro Penerbitan & Perhubungan membentangkan proposal Hari Keluarga JKQ
Sejurus kemudian, aktiviti dihentikan seketika bagi memberi laluan untuk solat Zuhur dan makan tengahari. Selepas Zuhur, aktiviti bersambung dengan acara modul seterusnya, yang dikenali sebagai "Berita dan Maklumat". Dipecahkan kepada kumpulan lelaki dan perempuan, setiap peserta dikehendaki menyampaikan maklumat kepada peserta seterusnya berdasarkan maklumat yang diterimanya. Peserta terakhir setiap kumpulan dikehendaki melukis gambaran berita yang disampaikan kepadanya. Modul atau permainan yang agak santai ini, selain daripada dapat menghilangkan rasa bosan dan mengantuk, dapat melatih menjadi lebih peka terhadap maklumat, lebih jujur dan telus dalam menyampaikan malah mendidik sikap amanah dan bertanggungjawab dalam memikul amanah yang diberi.
Berita dan Maklumat
Sesi penyampaian hadiah kepada peserta
Alhamdulillah, hanya pujian untuk-Nya kerana atas keizinan-Nya, majlis serba sederhana ini dapat diselesaikan dan disempurnakan seadanya. Walaupun menghadapi masalah dari segi kekurangan peserta yang hadir, pertimbangan harus dibuat kerana program ini terpaksa ditangguhkan pada saat-saat akhir hanya berdasarkan notis ringkas daripada universiti kerana bertembung dengan Minggu Pilihan Raya Kampus 09/10. Namun begitu, kedhaifan dalam bilangan ahli menjadi rahmat dalam ujian kerana program ini dapat dijalankan dengan lebih lancar dan silaturrahim antara kami menjadi lebih utuh.
Semoga di masa akan datang, kami semua dapat berkhidmat dan memberi khidmat yang lebih baik, di samping mendapat keredhaan-Nya. Insyallah.
لا يؤمن احدكم حتي يحب لاخيه ما يحب لنفسه