"Wahai Tuhan, adakah aku digenggam rindu?"
Tersebutlah satu kisah....
Kisah kerinduan seorang kekasih kepada seorang kekasih yang dicintainya...
Kisahnya ini adalah seorang yang dijanjikan syurga. Asalnya seorang hamba yang hina. Namun kasih sayang Ilahi mengatasi segala-galanya. Dia memiliki taqwa yang telah melonjakkannya tinggi ke hadrat Tuhan. Ketika dia hidup, dia telah dikhabarkan bahawa tapak kakinya kedengaran di syurga... Bilal bin Rabah.
Disebabkan kerinduan yang membakar hatinya, Bilal bin Rabah tidak sanggup kembali ke Madinah. Dia enggan berada di Madinah, kerana rindunya kepada seseorang menyebabkan dia menangis; bagaimana dia tidak menangis, sedangkan dialah yang membangunkan kekasihnya pada setiap subuh? Bagaimanakah dia tidak menangis, sedangkan kekasihnya telah mendengar tapak kakinya di syurga?, dan kerana tidak ada sudut kota Madinah yang tidak ada kenangan bersama kekasihnya. Kesemuanya membangkitkan kenangan lantas kerinduan yang amat dalam di lubuk hatinya.
Suatu hari, Abu Bakar meminta Bilal melaungkan azan seperti dahulu, ketika kekasih masih di samping mereka.
Bilal menjawab, “Bagaimanakah aku menjadi muazzin, sedangkan imamnya sudah tiada?”
Sehingga suatu ketika, beliau ditanyakan oleh Saidina Hassan, menginginkan agar Bilal melaungkan azan semula seperti zaman dahulu.
Kata Bilal menjawab pertanyaan Hassan, “Aku tidak ada pilihan lain selain menerima permintaan ini. Kerana orang yang meminta aku berbuat demikian adalah keluarga baginda sendiri. Aku bimbang jika baginda tidak menerimaku di syurga nanti.”
Ketika tiba masanya, seluruh penduduk kota Madinah gempar. Mereka terperanjat, seraya keluar daripada bibir mereka, “Adakah baginda diutus kembali?”
“Adakah baginda diutus kembali?”
“Benarkah baginda diutus kembali?”
Ya, mereka menyangka kekasih mereka diutus kembali. Namun mereka tidak menjumpai kekasih yang mereka terlalu rindui. Wajahnya, dirinya terbayang bersama mereka. Kehilangannya tidak ada tandingannya dengan kehilangan apa pun. Tidak ada yang mereka cintai lebih, melainkan seorang kekasih yang amat dirindui.
“Adakah baginda diutus kembali?”
“Benarkah baginda diutus kembali?”
“Benarkah, benarkah, benarkah?”
“Di manakah baginda?”
Nyata, baginda s.a.w tetap tidak ada di hadapan mata. Tetapi apa yang mereka dengar adalah seruan seorang yang mulia. Seorang yang juga mempunyai kecintaan yang sama terhadap kekasih mereka.
Semuanya menyangka bahawa kekasih mereka kembali ke dunia dan diutus semula di muka bumi. Setibanya mereka di Masjid Nabawi, kelihatan seorang berkulit hitam yang dijanjikan syurga sedang berdiri melaungkan azan seperti saat bersama kekasih mereka.
Bilal melaungkan azan dengan suaranya. Mendengar azan Bilal, kenangan bersama kekasih kembali menerjah. Kedengaran suaranya berat. Penduduk Madinah tunduk sebak teringatkan kenangan indah bersama kekasih agung yang dirindui.
“Allahu Akbar! Allahu Akbar!”
“Asyhadu alla ila ha illallah! Asyhadu alla ila ha illallah (Aku naik saksi bahawa tidak ada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah)!”
Tibanya saat itu, Bilal diam. Dia tidak mampu mengucapkan kalimah berikutnya. Dia turun dari tempat berdirinya dan menangis... Dia tidak sanggup mengucapkan laungan untuk kekasih dirinduinya... Dia tidak sanggup menahan empangan air matanya... Dia tidak sanggup mengucapkan azan:
Asyhadu anna Muhammadur Rasulullah.... Aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah...
Agungnya rindu Bilal!
Agungnya cinta para sahabat terhadap kekasih mereka!
Wahai Tuhan...
Adakah hatiku digenggam oleh seseorang yang telah menawan hatiku?
Kapan hari lidahku basah menyebut namanya...
Bukankah itu tanda rindu... tanda cinta?
Sejauh manakah benar kerinduan itu?
Ataupun sekadar kerinduan kosong?
Adakah dirinya wujud tetapi terpencil lagi terasing di sudut hidupku?
Adakah aku mengaku sebagai umatnya, tetapi sering mengingkarinya?
Sedangkan aku sering alpa cintanya kepadaku?
Atau, adakah aku lemparkan kasihnya ke tepi?
Oh, Tuhan... adakah aku menggenggam rindu kekasih-Mu?
Oh Tuhan, moga Engkau campakkan rasa rindu terhadap manusia mulia yang mengasihiku...
Iaitu kekasih yang dirindui Bilal bin Rabah, para sahabat dan orang-orang yang mencintainya...
Habibina Muhammad Rasulillah Mustofa...
Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya bershalawat untuk Nabi. Hai orang-orang yang beriman, bershalawatlah kamu untuk nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya.
(al-Ahzab, 33:56)
Sambutlah cinta Baginda Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam dengan berselawat dan salam atasnya...
sumber
اللهـم صـل وسـلم وبارك علـيه وعلـى آلـه