Salam and welcome to the official blog of

Jom Kenal Qur'an (^^) :: جمعية خدمة القرءان







Fardhu Ain Course : JKQ Slaughtering Course 2010

JKQ, dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah mengadakan Kursus Fardhu Ain : Kursus Asas Sembelihan JKQ atau Fardhu Ain Course : JKQ Slaughtering Course pada 28 Februari 2010. Program kursus sehari ini berlangsung di Kulliyyah Kejuruteraan UIA dengan menggunakan 3 laman yang berbeza, bersesuaian dengan kehendak modul dan aturcara.


Secara umumnya, kursus ini terbahagi kepada 2 slot, yakni slot teori dan slot praktikal. Bertujuan  demi memperkasa dan memperkaya pengetahuan am para peserta berkenaan asas-asas sembelihan, 2 penceramah telah dijemput khas daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bagi menyempurnakan sesi teori. Encik Zainuddin daripada Censerve Unit juga turut hadir memberi sokongan.

Bermula dengan sesi pendaftaran, para peserta dijamu dengan sarapan pagi oleh pihak penganjur, untuk memberi tenaga awal sebelum melangkah ke Audi untuk sesi teori. Sementara itu juga, dif jemputan yang sudah tiba dibawa ke bilik VIP untuk menjamah sedikit santapan pagi.



 Sesi pendaftaran dan pengagihan sarapan


Para peserta menikmati hidangan yang disediakan

Para VIP tidak ketinggalan menjamah juadah pemula

Sejurus kemudian, majlis dibuka dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Qur'an daripada akhi Raziz Firdaus diikuti ucapan pembukaan dan kata-kata aluan daripada Pengarah Program, akhi Ammar sebelum slot ceramah dimulakan.
Alunan Ayatul Karim sebagai pembuka majlis

Akhi Hidir, selaku pengerusi majlis merencana susun atur program

Pengarah program mengolah bait-bait pembuka

Slot teori telah dimulakan seawal jam 9.00 pagi, sejurus selepas sesi pendaftaran dan sarapan pagi, bertempat di Auditorium A, Kulliyyah Kejuruteraan. Penceramah 1, Ustaz Abdul Halim Zakaria telah memberi gambaran yang mantap dan pendekatan yang berkesan dalam asas sembelihan. Sesi soal jawab juga berjaya menarik perhatian para peserta kerana mereka didedahkan dengan perkara dan pengetahuan yang baru.

Para peserta sangat terhibur dengan gaya dan isi penyampaian penceramah

Ustaz Abdul Halim Zakaria


Sesi teori 1 tamat pada jam 10.30 pagi untuk memberi laluan kepada tea-break yang disediakan oleh pihak penganjur, sebelum slot teori disambung dengan sesi ke-2.


 Sesi ke-2 teori yang juga tidak kurang mantapnya


Akhi Ammar, selaku pengarah program menyampaikan cenderahati kepada penceramah


 Sekalung penghargaan untuk Encik Zainuddin yang turut hadir memberi sokongan


Usai sesi teori, para peserta kelihatan sudah tidak sabar lagi untuk mara ke laman sesi praktikal, berbekalkan pengetahuan dan maklumat yang diperoleh dan digarap daripada slot teori sebelum ini. Sesi praktikal dikepalai oleh akhi Zaahin selaku Program Koordinator, yang kemudiannya memberikan ruang sepenuhnya bagi wakil JAWI, Ustaz Abdul Halim mengendalikan sesi.

Program Koordinator, akhi Zaahin mengepalai program


Para komiti bertungkus-lumus dalam menyediakan platform terbaik untuk sesi praktikal


Ayam-ayam yang bakal menjadi 'korban' sesi praktikal


Acara praktikal dirasmikan oleh Encik Zainuddin (Censerve)


Corat-coret sekitar slot Praktikal

Selain daripada cara penyembelihan yang halal dan sah di sisi Islam, Ustaz Abdul Halim juga turut menunjukkan demonstrasi cara mudah dan pantas untuk melapah ayam.

Demo melapah ayam daripada Ustaz Abdul Halim

Selesai slot praktikal, program berehat sebentar untuk memberi kesempatan kepada para peserta menunaikan solat Zohor serta membersihkan diri. Kemudian, acara diteruskan dengan sesi gotong-royong memasak menggunakan ayam sembelihan, bertempat di Lot Parking Kereta, Kulliyyah Kejuruteraan.



Sesi gotong-royong turut mendapat sambutan hangat

Acara cabutan bertuah dijalankan sementara menunggu makanan tengahari selesai diproses sepenuhnya, dikendalikan oleh pihak koordinator program.

Para peserta bertuah menerima cabutan bertuah


Akhirnya, apabila semua persiapan dan proses selesai dijalankan, maka tibalah acara yang paling ditunggu-tunggu, makan tengahari. Para peserta yang kelihatan sugul untuk beberapa ketika sudah mula mengukir senyuman menanti giliran bagi mendapatkan makanan hasil daripada gotong-royong memasak sebelumnya.

Para peserta disajikan dengan santapan tengahari yang cukup menyelerakan

Santapan tengahari secara berjemaah itu menjadi titik penentu bagi Program Kursus Asas Sembelihan JKQ 2009 melabuhkan tirai dengan jayanya. Program yang memakan masa hampir seharian ini mendapat sambutan dan "feedback" yang sangat menggalakkan daripada para peserta, baik bagi mereka yang datang dari luar, mahupun warga UIA sendiri. Jelas terpancar riak kepuasan pada wajah-wajah mereka, kerana di samping dapat memantapkan pemahaman dan pengetahuan tentang asas-asas sembelihan, mereka juga disajikan dengan sesi praktikal, serta tidak ketinggalan gotong-royong yang tidak syak lagi dapat memupuk semangat bekerjasama dalam komuniti.

Malah, daripada pihak penganjur sendiri, program Kursus Fardhu Ain : Kursus Asas Sembelihan JKQ 2010, dengan kerjasama JAWI ini, merupakan program terbesar pernah dianjurkan setakat ini, lantas menjadi titik tolak kepada perjuangan dalam memperjuang, mempromosi dan mengeksport kepada komuniti, kemahiran asas agama amnya dan Fardhu Ain khasnya di samping memupuk dan melatih sifat bekerjasama dan sukarelawan. Tidak dinafikan, masih terdapat kelemahan daripada pihak penganjur, dalam aspek kelancaran program dan pengurusan masa, namun, tekad dan iltizam daripada pihak penganjur, kelemahan ini akan terus cuba diperbaiki dari semasa ke semasa. Insyallah. Tidak dilupakan juga, jutaan terima kasih diucapkan kepada pihak JAWI yang sudi turun padang, wakil Censerve, serta para peserta yang sentiasa tidak lekang dengan senyuman.

Mereka datang dengan harapan,
JKQ sambut bagaikan permata,
Andai ada salah yang tak disengajakan,
Seribu kemaafan kami pinta.



حرمت عليكم الميتة والدم ولحم الخنزير وما أهل لغيرالله به
Maksudnya :
“Diharamkan ke atas kamu bangkai, darah, daging babi dan apa yang di sembelih selain kerana Allah”


0 comments: